DUBAI – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola menerima penghormatan apabila dipilih sebagai pemain serta jurulatih terbaik abad ini dalam Anugerah Globe Soccer.
Kemenangan tersebut menyaksikan Ronaldo berjaya meraih anugerah tersebut dengan menewaskan musuh tradisinya, Lionel Messi pada majlis yang berlangsung di Hotel Armani.
Penyerang berusia 35 tahun itu berjaya meraih kemenangan dalam aksi liga domestik di Sepanyol, England dan Itali serta menjulang gelaran Euro 2016 bersama Portugal .
“Ia adalah kemenangan yang sangat mengujakan.
“Bukan mudah untuk berada di puncak dalam sukan ini untuk tempoh yang lama. Saya sangat bangga tetapi tanpa bantuan daripada pasukan, jurulatih dan kelab, sukar untuk saya menjadikan ia sebagai kenyataan,” kata pemenang Anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu.
Ronaldo menjadi pemain kedua menerima anugerah berkenaan selepas Diego Maradona meraihnya pada 2012.
Dalam pada itu, kejayaan membimbing Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City meraih kemenangan dalam aksi domestik, selain menjulang gelaran Liga Juara-Juara sebanyak dua kali membolehkan Guardiola dipilih sebagai jurulatih terbaik.
Selain itu, kejayaan menjulang gelaran trebel bagi aksi Bundesliga, Liga Juara-Juara dan DFB-Pokal membolehkan jurulatih Bayern, Hansi Flick menjulang gelaran jurulatih terbaik tahunan.
Sementara itu, Real Madrid diangkat sebagai pasukan terbaik abad ini, manakala Bayern memenanginya untuk gelaran pasukan terbaik tahunan.
Bagi anugerah ejen terbaik pula, Jorge Mendes dinamakan sebagai ejen terbaik untuk tahun 2020 dan meraih kemenangan itu bersama-sama kliennya, Ronaldo.
Anugerah Globe Soccer ini mula diperkenalkan pada 2010 yang memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam bola sepak dalam sebuah majlis makan malam gala. – AGENSI