PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalanraya dan disyaki memandu dalam keadaan mabuk di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek berusia 43 tahun itu diberkas pada pukul 12.45 tengah malam semalam selepas hasil ujian pernafasan mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek telah melanggar kereta jenis Mercedes yang keluar dar tempat letak kenderaan di jalan tersebut. Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Suspek yang memandu kereta Proton Wira ditahan kerana terlibat kemalangan di Jalan SS 3/36 Sungai Way dan ujian EBA (Evidential Breath Analyzer) yang dijalankan mendapati bacaan melebihi had ditetapkan,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE