fbpx

Olimpik Paris: Penamat sempurna jaguh gusti Cuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOPEZ meletakkan kasutnya di atas gelanggang sebagai simbolik kepada persaraan selepas meraih pingat emas Olimpik kelimanya awal pagi semalam. - AFP

PARIS – Ahli gusti Greco-Roman dari Cuba, Mijain Lopez berada dalam kelas tersendiri apabila memahat namanya sebagai atlet pertama berjaya mengungguli acara sama di pentas Sukan Olimpik sebanyak lima edisi temasya berturut-turut.

Lopez yang akan genap usia 42 tahun dua minggu lagi, meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dalam kategori 130 kilogram (kg) setelah menewaskan Yasmani Acosta Fernandez dari Chile dengan kutipan mata 6-0.

Di sebalik kejayaan itu, beliau meluahkan hasrat untuk bersara dan menyerahkan gelanggang gusti kepada generasi baharu selepas ini.

“Untuk memenangi kesemua lima edisi, pertamanya anda perlu mencintai sukan ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa anda mampu melakukan perkara-perkara hebat biarpun serba kekurangan.

“Apakah peluang lebih baik untuk saya berada di sini pada perlawanan akhir bertarung dengan rakan sebaya dan menang di Sukan Olimpik? Gusti adalah kehidupan saya dan sekarang sudah tiba masanya mengucapkan selamat tinggal,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan Olimpik keenam buat juara dunia lima kali itu yang membuat debut di pentas berprestij tersebut dengan meraih tempat kelima di Athens, Greece pada 2004.

Lopez memenangi emas pertamanya dalam kelas 120kg di Olimpik Beijing 2008 dan mengulangi kejayaan itu pada edisi London 2012 sebelum meneruskan dominasinya biarpun beralih ke kategori lebih berat, 130kg.

Kejayaan di tiga edisi seterusnya menjadikan keseluruhan lima pingat emas menyaksikan Lopez kini berjaya mengatasi nama-nama hebat yang sebelum ini pernah memenangi empat emas dalam satu acara.

Ia termasuk legenda olahraga dunia, Carl Lewis; atlet lempar cakera, Al Oerter; perenang Michael Phelps (200m kuak kupu-kupu), Katie Ledecky (800m renang gaya bebas), Paul Elvstrom (pelayaran) dan Kaori Icho (gusti). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI