PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akan mendapat ‘senarai impian’ bagi mengharungi saingan Pestabola Merdeka 2024 bulan depan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman selepas pengendali import dari Sepanyol berkenaan sudah mula melapor diri awal minggu ini selepas percutiannya di Eropah berakhir.
“Untuk makluman, Pau Marti baru balik dua hari lepas (dari Sepanyol) dan saya lihat beliau (sudah mula) melakukan mesyuarat dengan barisan kejurulatihannya.
“Nanti beliau akan buat kenyataan. Insya-Allah, memang kita mahu (turunkan) skuad terbaik dengan pasukan dijangka mula menjalani kem latihan pusat bermula penghujung Ogos ini,” kata Noor Azman.
Pada saingan Pestabola Merdeka edisi ke-43 nanti, skuad Harimau Malaya telah diundi bertemu Filipina, manakala Lubnan akan turun menentang juara bertahan tahun lalu, Tajikistan.
Sebagai rekod, FAM membuat keputusan untuk menaikkan pangkat Pau Marti untuk menggalas tugas ditinggalkan oleh Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih bulan lalu.
Bekas pengendali skuad remaja Barcelona itu berdepan tugas berat pada debut pertamanya di pentas antarabangsa apabila FAM meletakkan sasaran untuk muncul juara Pestabola Merdeka kali ini.
Selepas itu, Pau Marti akan diberikan tugas untuk merencana empat aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober dan November nanti sebelum mengalihkan tumpuan kepada kejohanan Piala ASEAN 2024 bermula Disember depan.