PARIS – Pemain bola tampar jelita Brazil, Rosamaria Montibeller tekad untuk mengubati duka Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan memastikan pasukan dapat meraih kilauan pingat emas pada edisi di Paris kali ini.
Misi skuad Brazil semakin hampir apabila berjaya lolos ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Republik Dominika pada aksi suku akhir dengan keputusan 25-22, 25-13, 25-17 kelmarin.
Keputusan tersebut menyaksikan Brazil yang meraih pingat perak edisi 2020 akan membuat perhitungan dengan seteru tradisi yang juga juara bertahan, Amerika Syarikat (AS) pada saingan di Champ de Mars malam ini.
Montibeller yang kini berusia 30 tahun berharap dapat menggunakan segala pengalamannya untuk memastikan rakan-rakan sepasukan yang lebih muda dapat mempamerkan kematangan pada perlawanan getir nanti.
“Ketika saya bergelar remaja, saya melihat kematangan pemain-pemain yang lebih senior di atas gelanggang. Selepas lama bermain di pentas antarabangsa termasuk Olimpik edisi 2020, sudah menjadi tradisi untuk saya curahkan ilmu yang sama buat pemain muda.
“Secara peribadi, kami sudah melepasi halangan awal di peringkat suku akhir tetapi cabaran sebenar bermula sekarang. Sudah tentu misi utama pasukan adalah untuk melangkah ke perlawanan akhir.
“Atas kertas, pasukan lawan (AS) mungkin dianggap pilihan tetapi jika kami memiliki strategi yang betul, tidak mustahil pasukan mampu melakar kejutan sekali gus menebus kekecewaan sebelum ini,” katanya.
Satu lagi perlawanan separuh akhir bola tampar wanita bakal menyaksikan pertembungan antara Turkiye menentang Itali. – AGENSI