fbpx

Apabila halal jadi modal kaut laba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD

Beberapa tahun lalu, penulis pernah berkunjung ke Negara Gajah Putih mengikuti satu rombongan media yang terdiri daripada ramai bukan Muslim. Pada sebelah malamnya rombongan dijemput menjamu selera di sebuah restoran yang menyajikan hidangan stimbot.

Malangnya, dalam banyak-banyak bahan yang dihidangkan, turut terselit daging khinzir dan kerana itu penulis langsung tidak menyentuh hidangan tersebut dan perkara itu disedari oleh pihak tuan rumah.

Selepas diberitahu oleh rakan media yang lain bahawa saya seorang Muslim, maka tuan rumah meminta maaf lalu dia memesan makanan lain berupa seekor itik panggang yang juga tidak halal kerana leher itik tersebut elok saja tanpa sebarang kesan sembelihan.

Tentu sahaja tuan rumah itu bukan seorang Muslim yang pada pengetahuannya orang Islam hanya tidak boleh makan khinzir dan langsung tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan halal.

Apa yang cuba disampaikan di sebalik kejadian ini ialah, hampir sebahagian besar orang bukan Islam sebenarnya tidak memahami maksud halal mengikut hukum syarak. Cuma kerana mereka ingin berniaga dan menjualnya pula kepada orang Islam, maka mereka memohon pensijilan halal.

Halal bagi mereka hanya untuk membolehkan produk mereka laris di pasaran dan akhirnya boleh mengaut laba yang besar. Tidak lebih daripada itu.

Kita sedar dan tahu pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) memang sentiasa mengambil berat soal penghasilan produk-produk halal ini, namun mampukah mereka memantau setiap produk yang dikeluarkan pada setiap masa?

Kalau di sesetengah kampung yang penduduknya terdiri daripada orang Islam sendiri pun sanggup menjual lembu curi yang haiwan itu entah disembelih atau tidak, apatah lagi produk-produk yang dihasilkan oleh bukan Muslim.

Penulis tidak mengatakan semua produk yang diimport atau yang dihasilkan oleh bukan Muslim tidak halal, cuma sifat tamak segelintir peniaga mengejar keuntungan berlipat ganda mungkin menjurus kepada berlakunya penipuan mengenai aspek halal ini.

Ini terbukti apabila pihak berkuasa dapat mengesan taktik jahat sebuah kartel yang membungkus semula daging sejuk beku diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina dengan menggunakan logo halal Jakim.

Daging yang dibungkus itu pula dijual ke pasaran seluruh negara. Kepada pengguna Islam, tentunya mereka akan membeli daging yang dijual itu tanpa sebarang rasa was-was kerana jelas tertera logo halal Jakim.

Mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Apakah Jakim tidak cukup ketat dan teliti dalam pengeluaran sijil halal? Cuma kita berharap, kes kartel daging haram ini merupakan satu-satunya kes penipuan seperti itu yang berlaku di negara kita.

Rasanya, dalam bab-bab tertentu, urusan pengimportan makanan halal ini perlu hanya dilakukan oleh orang-orang Islam sendiri dan kalau orang yang mengaku dirinya Islam itu pun tidak boleh dipercayai, elok Jakim sahaja yang menguruskan hal ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI