PETALING JAYA – Spekulasi tentang hubungan cinta antara penyanyi dan pelakon Gabriel Prince dengan pempengaruh, Kasih Iris Leona terjawab apabila kedua-duanya mengakui saling berkawan.
Kata Leona atau nama lengkapnya Kasih Iris Leona Azhar, 22, semua kemesraan yang dipamerkan hanyalah gurauan semata-mata.
“Sebenarnya kalian, saya kini berada di Jakarta (Indonesia) bersama Rees (kembarnya, Andika Rees Pahamin).
“Selama ini kami hanya bergurau dan kami hanya kawan.” katanya menerusi satu video dalam Instagram.
Malah, anak kepada aktor Azhar Sulaiman itu turut sempat bergurau mengatakan dia akan berkahwin dengan Prince pada minggu depan.
“Kami tidak bercinta, tetapi kami akan berkahwin minggu depan.
“Kami secara peribadi ingin menjemput Rizky Febian dan Mahalini untuk membuat persembahan di hari perkahwinan kami nanti,” katanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat ‘protes’ dengan kenyataan Leona mengatakan dia dan Prince tidak memiliki hubungan istimewa.
Peminat mengharapkan kedua-dua saling jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga secepat mungkin.
“Kenapa kawan kalau boleh bercinta Leona?
“Kami semua sudah beri pengesahan pada hubungan kalian. Kalau benar-benar bercinta juga dan kahwin juga tidak mengapa.
“Kalau betul hanya kawan mengapa muka Leona nampak sedih?
“Tolonglah bercinta kalian berdua, tolonglah,” demikian daripada komen peminat.
Terdahulu Leona beberapa kali memuat naik video dan gambar mesra dan saling berpegangan tangan dengan Prince sehingga menarik perhatian peminat. – KOSMO! ONLINE