BEIJING – Sebuah syarikat perabot di China menghasilkan sofa gergasi berbentuk gorila selepas mendapat banyak permintaan bagi produk tersebut, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Pada April lalu, sebuah blog reka bentuk, Inspiring Designs memuat naik hantaran memaparkan berpuluh-puluh imej sofa berbentuk gorila yang dijana teknologi kepintaran buatan (AI).
Tidak dapat dipastikan perisian yang digunakan untuk menghasilkan imej tersebut namun, reaksi orang ramai sangat menggalakkan.
Berdasarkan komen pengguna laman sosial, ramai bertanyakan di mana mereka boleh membeli produk tersebut.
Menyedari permintaan yang tinggi, pemilik syarikat perabot yang menggunakan akaun @sunyaofurniture02 pada platform TikTok, menghasilkan sofa gorila sebenar, didatangkan dalam pelbagai warna dan saiz.
Menurut laporan, produk itu sudah pun habis ditempah oleh pembeli dan ia dijual di laman e-dagang Amazon pada harga AS$9,995 (RM44,568).
“Di China, semuanya mungkin. Sofa gorila adalah buktinya,” ujar keterangan video kedai perabot tersebut. – AGENSI