fbpx

Olimpik Paris: Legenda Arsenal janji pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HENRY (kanan) memuji prestasi cemerlang Mateta (kiri) yang meledak dua gol menewaskan Mesir 3-1 awal pagi semalam. - AFP

LYON – Perancis bangkit daripada ketinggalan dengan meledak tiga gol untuk menewaskan Mesir 3-1 pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki di Stade de Lyon awal pagi semalam, sekali gus menempah pertemuan menentang Sepanyol di final awal pagi Sabtu ini.

Skuad kendalian Thierry Henry kelihatan berada di ambang kekalahan apabila Mahmoud Saber meletakkan Mesir di depan selepas sejam sebelum Mateta yang beraksi dengan Crystal Palace menyamakan kedudukan ketika aksi berbaki tujuh minit.

Mesir beraksi 10 pemain pada permulaan masa tambahan apabila pertahanan tengahnya, Omar Fayed dibuang padang dan tuan rumah menggunakan kelebihan itu menerusi jaringan kedua Mateta pada minit ke-99.

Bintang baharu Bayern Munich, Michael Olise kemudian melengkapkan kemenangan itu pada minit ke-108.

MATETA (kanan) muncul wira Perancis apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Mesir awal pagi semalam. – AFP

“Tahniah kepada pemain kerana mengharungi satu perlawanan yang cukup menakjubkan. Pujian harus diberikan kepada mereka yang tidak pernah berputus asa mencari kemenangan dalam aksi ini.

“Kami sudah memastikan pingat buat Perancis tetapi kami kini selangkah lagi untuk meraih emas bola sepak buat kali pertama selepas 40 tahun. Sepanyol menjadi lawan terakhir kami selepas ini. Kami tidak akan mensia-siakan peluang keemasan ini,” kata Henry.

Kejayaan itu membolehkan Les Bleus kini mengintai pingat emas bola sepak lelaki Olimpik buat kali kedua sejak memenanginya pada 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Lawan mereka di pentas final iaitu Sepanyol yang pernah memenangi pingat emas pada edisi Barcelona 1992 dan pingat perak di Tokyo tiga tahun lalu, mara ke final selepas turut bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Maghribi 2-1 di Marseille awal pagi semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI