PETALING JAYA – Nampaknya kemenangan pemain badminton nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia maraih pingat gangsa kedua negara pada perlawanan penentuan pingat tersebut di Olimpik Paris 2024 masih belum reda.
Terbaharu, lebih tiga juta bunga virtual di aplikasi Google telah disumbangkan oleh orang ramai di seluruh dunia kepada pemaian berusia 26 tahun itu sehingga pukul 11 malam tadi.
Salah seorang peminatnya Asya Yousra di aplikasi X menjelaskan, sebelum semua peminat badminton negara tidur malam ini, perlu bagi bunga kepada pemain perseorangan itu.
“Dah semua. Sebelum tidur pergi bagi bunga kat Lee Zii Jia. Search nama kat Google. Medal terbang, lepas tu bunga keluar. Haa tekan,” tulisnya.
Terdahulu, Zii Jia berjaya menundukkan pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 sekali gus menyumbang pingat gangsa kedua untuk Malaysia dalam sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, semalam. – KOSMO! ONLINE.