fbpx

Keindahan langit aurora inspirasi fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMBER memukau dengan busana rona tanah berlabuci merah penuh feminin.

PESONA fenomena cahaya terang yang dilihat di langit malam yang dikenali sebagai ‘aurora’ sememangnya cukup memikat.

Aurora atau juga disebut sebagai Northern Lights biasanya boleh dilihat di tempat-tempat seperti Iceland, Alaska, Skandinavia dan bahagian utara Kanada.

Fenomena alam yang mengujakan ini menjadi inspirasi bagi koleksi pakaian Musim Bunga/Panas 2025 MagLifeStyle.

Koleksi pakaian yang dinamakan The Aurora itu pertama kali dipentaskan di khalayak ramai di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024 yang berlangsung minggu lalu di Esplanade, Taman KLCC.

MagLifeStyle diasaskan oleh dua beradik perempuan berbakat besar, Yen Lee Wong dan Shirley Wong pada 2010.

Rona-rona memukau sepert coklat, hitam, pastel jingga dan juga merah mendominasi koleksi ini, menyerlah sisi moden wanita masa kini.

Jenama itu melalui perkongsiannya kepada media memberitahu koleksi The Aurora diilhamkan daripada keindahan cahaya di ufuk utara itu yang jarang sekali ditemui.

“Struktur sinaran cahaya itu menyerupai lembing dengan efek lengkungan yang menyerupai seekor naga berapi.

“Pemilihan warna merah bagi koleksi ini pula adalah sebagai mewakili semangat dan pemerkasaan wanita moden masa kini,” kongsinya.

Busana dengan juraian kelihatan unik.

Pentas peragaannya dibuka oleh peragawati terkenal, Amber Chia yang memperagakan sehelai dres tanpa lengan daripada rona tanah dengan perincian labuci merah dan lipatan ruffles di bahagian bahu sehingga pinggang untuk efek feminin.

Menurut MagLifeStyle, perincian labuci merah penuh berkilau itu juga adalah sebagai menonjolkan asal usul cahaya aurora.

“Siri rekaan ini juga menampilkan fabrik sifon beralun yang dihasilkan dalam pelbagai variasi berbeza seperti lilitan pada leher dan juga bahagian pergelangan tangan.

“Rekaan ini juga sesuai dijadikan sebagai busana harian buat wanita yang mementingkan gaya elegan,” katanya.

Seleksi pakaian dalam rona hitam dengan kilauan labuci juga adalah bagi menterjemah kegelapan langit malam aurora.

Sementara itu, tarikan atau ‘superstar’ utama bagi koleksi busana rona hitam yang ditampilkan adalah penggunaan juntaian berlian dan perincian labuci berkilau yang menyerlah sisi mewah pemakai.

Selain pakaian wanita, buat pertama kalinya, MagLifeStyle memperkenalkan pakaian lelaki dalam koleksi ini.

Potongan pakaian lelaki bagi koleksi kali ini amat menitikberatkan keseimbangan estetika dengan keselesaan.

Selain koleksi The Aurora, pentas KLFW 2024 MagLifeStyle juga turut diserikan dengan koleksi khusus, hasil kolaborasi jenama itu bersama jenama tuala wanita popular dari Jepun, Laurier.

Bagi koleksi yang dinamakan MagLifeStyle X Laurier itu, Yen Lee dan Shirley berkongsi mereka memilih rona hijau dan merah jambu sebagai rona utamanya.

“Kami teruja apabila dapat bekerjasama dengan Laurier dalam menghasilkan koleksi yang bersifat inklusif kerana merasakan ia bersesuaian dengan matlamat kami.

“Pemilihan rona hijau dan merah jambu pula adalah diinspirasikan daripada salah satu rangkaian tuala wanita Laurier iaitu Laurier Super Slimguard yang mendorong kami menghasilkan busana yang bukan sahaja comel tetapi juga elegan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI