fbpx

Malaysia dipuji biarpun tewas kepada Wales

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Malaysia, Juliani Mohamad Din (kiri) mendengar taklimat dua pengadil sebelum aksi ketiga menentang Wales semalam. - FB MHC

PETALING JAYA – Skuad hoki wanita negara mempamerkan peningkatan dari segi corak permainan meskipun tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi ketiga siri perlawanan latihan di Cardiff semalam.

Ketua jurulatih skuad negara, Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan, strategi permainan anak-anak buahnya lebih teratur dengan peningkatan tempo permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini. 

“Persediaan perlawanan yang baik untuk perlawanan ujian (rasmi) Rabu ini. Beberapa posisi serta taktikal telah diterapkan dalam perlawanan hari ini untuk melihat keberkesanannya pada perlawanan akan datang.

“Majoriti pemain muda sudah mula mempamerkan keserasian dengan pasukan. Namun, ketiadaan (penyerang) Siti Nur Arfah (Mohd. Nor) kerana kecederaan menyebabkan sedikit berlaku kekurangan dalam skuad,” kata Nasihin.

Pada aksi di Pusat Sukan Nasional Wales itu, Malaysian Tigress membuka langkah cemerlang apabila Nur Shamine Azureen Mohammad Badusha membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum tuan rumah bangkit meledak dua gol untuk melakar kemenangan.

Sementara itu, Nasihin turut menyatakan baki dua hari sebelum perlawanan ujian rasmi nanti akan digunakan sebaik mungkin untuk proses pemulihan fizikal dan juga taktikal pasukan.

Siri Jelajah Wales merupakan antara persiapan Malaysian Tigress sebelum memulakan saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 yang dijadualkan hujung tahun ini.

Sebagai rekod, skuad negara membuka kempen aksi persahabatan menentang Wales dengan keputusan seri 2-2 pada Jumaat lalu sebelum tewas 1-2 kepada lawan sama keesokannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI