JOHOR BAHRU – Kumpulan nelayan di Kampung Teluk Jawa dan Senibong, di sini dikejutkan dengan penemuan beberapa ekor buaya ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan sejak Jumaat lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, sudah beberapa kali pihaknya menerima aduan daripada nelayan yang menyuarakan kebimbangan dengan penemuan reptilia itu berkeliaran di sepanjang Sungai Masai.
Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan buaya itu berpindah kawasan bagi mencari sumber makanan baharu selain tempat berteduh.
Tambahnya, kehadiran haiwan buas itu turut disedari penduduk dan pengunjung hingga menimbulkan kebimbangan ramai ketika berkunjung ke lokasi tumpuan makanan laut itu.
“Malam semalam beberapa nelayan Orang Asli dari Kuala Masai dan Teluk Jawa meninjau keadaan sekitar dan mendapati terdapat beberapa ekor buaya berkeliaran.
“Mereka cuba menangkap buaya dewasa yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram (kg) ke atas namun gagal setelah pukat mereka rosak, tambahan pula ketika itu air agak dalam serta berbahaya,” katanya kepada pemberita.
Menurut Azli, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Gudang dengan harapan maklumat diberikan mampu menjadi panduan kepada agensi berkaitan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Masai, Kelah Lah berkata, pihaknya percaya haiwan liar itu tiada tempat berteduh selepas terdapat kerja penambakan di kawasan sekitar selain pembersihan tong ternakan kupang dilakukan. – KOSMO! ONLINE