fbpx

‘Bau minyak tanah ketika masuk pesawat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Seorang jemaah umrah mendedahkan dia terhidu bau minyak tanah semasa melangkah masuk ke dalam perut pesawat yang berpatah balik ketika dalam perjalanan ke Jeddah, semalam.

Penumpang yang mahu dikenali sebagai Henri Kurnia berkata, pesawat Malaysia Airlines MH156 itu bertolak pada pukul 3.20 petang sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.50 petang.

Menurut perkongsian di Facebook, Henri dan isteri serta tiga anak merupakan antara 250 jemaah umrah yang berada dalam pesawat tersebut.

Katanya, itu kali pertama dia sekeluarga akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

“Saya merupakan salah seorang penumpang pesawat tersebut. Sewaktu masuk pesawat ada bau macam kerozin (minyak tanah).

“Mohon pihak Malaysia Airlines tidak menggunakan pesawat yang sama untuk kami berangkat esok (hari ini),” katanya.

Bagaimanapun, Henri tetap berterima kasih kepada pihak Malaysia Airlines kerana bertanggungjawab menyediakan tempat penginapan buat mereka sekeluarga.

Henri bersama isteri serta tiga anaknya antara 250 jemaah penumpang pesawat Malaysia Airlines MH156 yang berpatah balik semalam akibat masalah teknikal.

“Alhamdulillah dan terima kasih Malaysia Airlines bertanggungjawab menyediakan kami penginapan untuk malam ini,” katanya.

Difahamkan pesawat yang membawa jemaah daripada dua agensi itu dijadualkan bertolak ke Tanah Suci pada pukul 9 pagi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pesawat Malaysia Airlines yang membawa seramai 250 jemaah umrah terpaksa berpatah balik selepas hampir dua jam berlepas dari KLIA.

Malaysia Airlines dalam kenyataan semalam mengesahkan penerbangan MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Kuala Lumpur disebabkan masalah teknikal sebaik sahaja berlepas.

Kenyataan itu menjelaskan pesawat berkenaan selamat mendarat pada pukul 4.56 petang.

Semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel dan penerbangan baharu mereka dijadualkan akan berlepas pada pukul 9 pagi ini.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru tetap menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI