PETALING JAYA – Percaya ketentuan Ilahi, isteri kepada penyanyi Allahyarham Jay Jay, Zaitoon Wahid reda dengan pemergian suami tercinta yang menghembuskan nafas terakhir pukul 9.27 malam tadi.
Zaitoon, 61, berkata Allahyarham mula berdepan komplikasi kesihatan membabitkan organ dalamannya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Dia pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui. Dia tidur dan pergi buat selamanya. Selepas pembedahan pintasan dibuat pada Jun lalu, dia mula mengalami komplikasi.
“Anak-anak dan adik-beradik arwah semuanya ada di sisi mengiringi perjalanan terakhir arwah.
“ Alhamdulillah kami tengok dia pergi dengan baik dan sebelum itu tiada pun tunjuk tanda-tanda dia dalam kesakitan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online semasa proses pengurusan jenazah di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, pagi tadi.
Sementara itu, adik kepada Allahyarham Jay Jay, Puan Seri Melor Wati menyifatkan Allahyarham sebagai seorang abang yang penyayang.
“Dia memang sangat penyayang, bukan dengan adik-beradik sahaja tapi dengan isteri dan anak-anak. Saya sebagai adik amat terasa kehilangan arwah.
“Dia memang sangat mementingkan semangat kekeluargaan ,” katanya.
Arwah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor.
Jenazah bakal dikebumikan sebelum solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Subang Jaya, Selangor.
Kira-kira 200 orang kenalan dan keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir buat penyanyi, komposer dan pemuzik terbabit.
Allahyarham Datuk Jay Jay akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, Selangor. – KOSMO! ONLINE.