PETALING JAYA – Selepas dua hari status perhubungan bersama si kekasih hati, Neelofa menjadi perdebatan ramai, penceramah selebriti, Pu Riz akhirnya tampil bersuara.
Meskipun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, PU Riz atau nama penuhnya, Muhammad Haris Mohd. Ismail, 25, berkongsi sebaris ayat yang dimuat naik dalam InstaStorynya hari ini.
Dalam perkongsian tersebut, dia memuat naik sekeping gambar berserta sepotong ayat dalam Bahasa Arab bersama terjemahannya yang bermaksud sentiasa yakin dengan setiap perkara yang Tuhan sudah aturkan.
“And know that Allah SWT will resolve everything in the end, in a way you would never imagine (Ketahuilah bahawa Allah SWT akan menyelesaikan segalanya satu hari nanti, dengan cara yang tidak pernah anda bayangkan),” tulis pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu.
Perkongsian tersebut merupakan hantaran pertama yang dimuat naik Haris selepas beberapa hari kontroversi tentangnya tular dalam media sosial.
Bagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan daripada pihak Haris.
Tinjauan Kosmo! dalam Twitter juga mendapati rata-rata netizen mahu Haris bersuara tentang isu yang sedang tular dalam media sosial sejak Sabtu lalu. Bekas peserta Pencetus Ummah itu turut dikecam dan dituduh menggunakan populariti Neelofa untuk promosi perniagaannya.
“Neelofa sudah bersuara, rasanya lebih baik Haris pula keluarkan kenyataan selepas ini. Cerita mereka tergantung!,” luah seorang netizen.
Semalam, Neelofa menerusi satu kenyataan akhbar menjelaskan semua tohmahan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak benar.
Bekas pengacara MeleTOP itu juga menyangkal dakwaan netizen konon-kononnya mereka telah bernikah diam-diam di Kelantan, pemberian sejumlah wang kepada keluarga PU Riz dan terkena minyak pengasih.
Kosmo! pada 26 Disember lalu melaporkan nama Neelofa dan Haris menjadi sohor kini dalam Twitter selepas netizen mendakwa hubungan mereka sedang dilanda badai. – K! ONLINE