JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sedia melupakan kekecewaan bagi menjadi atlet yang lebih matang selepas menampilkan aksi cukup mengecewakan ketika bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelari berusia 20 tahun itu melaungkan keazaman untuk menjadi salah seorang pelari terbaik di Malaysia selain meletakkan sasaran peribadi mara ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 secara merit.
“Sudah pasti berada di Olimpik adalah peringkat terbesar dan menjadi impian semua atlet. Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk berada di sini dan jadikannya sebagai satu pengajaran.
“Saya akan bangkit lebih kuat dan menjadi Azeem yang berbeza. Pada ketika itu, saya tidak lagi berusia 20 tahun dan bukannya seorang budak. Saya juga akan pastikan saya layak ke LA 2028 secara merit,” katanya.
Kelmarin, Azeem gagal meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya apabila menamatkan aksi pusingan pertama pada saringan kedua 100 meter (m) lelaki di kedudukan terakhir daripada sembilan peserta menerusi catatan masa 10.45 saat (s).
Terdahulu, Azeem yang merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s menduduki tempat kedua pada aksi saringan pertama selepas melakukan larian menerusi catatan 10.42s.