fbpx

Olimpik Paris: Brazil hidupkan peluang legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARTA (tengah) akan kembali beraksi buat Brazil menentang Sepanyol di separuh akhir pada Rabu ini. - AFP

NANTES – Impian legenda bola sepak wanita dunia, Marta untuk meraih pingat di pentas Sukan Olimpik masih terus bernyala susulan kejayaan negaranya, Brazil mara ke pentas separuh akhir edisi Paris kali ini.

Pemain wanita terbaik dunia sebanyak enam kali itu terlepas aksi suku akhir menentang tuan rumah, Perancis di Stade de la Beaujoire semalam selepas dilayangkan kad merah ketika tewas kepada Sepanyol dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Situasi tersebut ternyata sukar diterima penyerang berusia 38 tahun itu yang mengumumkan akan bersara sebaik tamat Olimpik ini kerana rata-ratanya merasakan Brazil bakal tersingkir di tangan Perancis.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Brazil menampilkan permainan dalam kelas tersendiri dengan mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi jaringan tunggal Gabi Portilho untuk menewaskan Perancis 1-0.

PARA pemain Brazil meraikan kejayaan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Perancis semalam. – AFP

Kini, Marta akan kembali memperkuatkan Brazil berdepan Sepanyol yang berstatus juara dunia di Stade de Marseille, Rabu ini dalam misi melangkah ke final sejak kali terakhir mereka melakukannya pada edisi Beijing 2008.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang memastikan kejayaan hari ini dan sekarang kami akan kembali diperkuatkan dengan kepulangan Marta. Kami akan berikan aksi terbaik di separuh akhir nanti,” kata pengendali Brazil, Arthur Elias.

Sebagai rekod, Brazil tidak pernah muncul juara Olimpik dengan kejayaan pingat perak edisi Beijing 2008 dan Athens 2004 adalah pencapaian terbaik Selecao di temasya berprestij berkenaan.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara juara dunia dan Olimpik empat kali, Amerika Syarikat (AS) dan pemenang pingat emas edisi Rio 206, Jerman di Stade de Lyon pada Rabu ini.

AS mara selepas menewaskan Jepun 1-0, manakala Jerman menang 4-2 menerusi penen­tuan sepakan penalti setelah seri tanpa jaringan dengan Kanada di suku akhir semalam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI