CAROLINA SELATAN – Kekalahan 0-3 kepada Liverpool pada aksi persahabatan hari ini belum mengundang rasa gusar kepada pengendali Manchester United, Erik Ten Hag.
Di sebalik masalah kecederaan yang dihadapinya ketika ini, Ten Hag masih dapat melihat perkara positif daripada pemain dan memnganggap ia begitu penting untuk dibaiki sebelum memulakan saingan sebenar pada pertengahan bulan ini.
“Perasaan pastinya bercampur baur. Kita ada perkara positif, namun cara kami melepaskan gol agak mengecewakan saya. Liverpool adalah pasukan yang bagus dan mereka begitu agresif.
“Seluruh pasukan sudah pun melakukan tugas dengan baik sepanjang pramusim, tetapi agak sukar untuk menamatkan jelajah ini dengan keputusan seperti ini.
“Bagaimanapun, kami gembira untuk melihat usaha yang kami tunjukkan. Pada akhirnya kami mula belajar tentang pasukan sendiri. Sekarang kami perlu segera pulih dan menyiapkan pasukan bagi hadapi perlawanan selepas ini,” katanya.
Sabtu ini, The Red Devils akan memulakan kempen 2024/25 dengan tugas mencabar apabila dijadualkan menentang Manchester City dalam saingan Perisai Komuniti.
Ten Hag akui yang Liverpool memberikan pengajaran berguna buat mereka memandangkan lawan itu berjaya tampil dengan permainan cemerlang hingga memperoleh tiga gol menerusi Fabio Carvalho, Curtis Jones dan Kostas Tsimikas.
“Saya gembira dengan sokongan dimana penyokong begitu sabar, sentiasa bersatu dan menjadikan suasana begitu menarik,” katanya yang gembira melihat sokongan peminat pada perlawanan semalam. – AGENSI