PETALING JAYA – Selepas mencetuskan 1,001 tanda tanya, individu yang didakwa sebagai penyebar cerita kononnya Neelofa sudah bernikah di Kelantan kini sedang dikesan.
Perkara tersebut dikongsi sendiri oleh pembantu peribadi Neelofa, Nadia Khairuddin dalam InstaStorynya memaklumkan ingin mengesan wanita bernama Syamira Safiya yang dipercayai sebagai individu di sebalik perbualan WhatsApp berkenaan.
“Kami memohon kepada semua orang awam untuk mengesan wanita ini bagi membantu pencarian kami.
“Jika anda ada maklumat, mohon kongsikan dan hubungi saya menerusi mesej dalam Instagram,” tulisnya.
Usaha Kosmo! mengesan wanita berkenaan juga gagal selepas mendapati akaun Twitternya sudah dinyahaktif.
Terdahulu, beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp antara dua individu yang mendakwa Neelofa sudah bernikah dan sedang berubat akibat minyak pengasih tular dalam media sosial sejak petang semalam.
Kosmo! semalam melaporkan nama Neelofa dan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail sohor kini dalam Twitter selepas netizen mendakwa hubungan mereka dilanda badai. – K! ONLINE
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/12/27/neelofa-nafi-kahwin-senyap-senyap-di-kelantan/