PETALING JAYA – Kerja baik pulih kerosakan teknikal pada landasan berhampiran Stesen Pusat Dagangan Dunia (PWTC) pagi tadi selesai dijalankan.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, jadual perjalanan telah diselaraskan dan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ditamatkan. Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda,” katanya sebentar tadi.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan perkhidmatan LRT mengalami gangguan sementara bagi laluan Ampang-Sri Petaling hari ini.
Menurut Rapid KL, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 9.58 pagi dan siasatan mendapati ia berpunca akibat kebakaran kecil pada salah satu komponen trek. – KOSMO! ONLINE