HULU TERENGGANU – Keasyikan seorang lelaki menonton perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala FA melibatkan Terengganu FC dan Selangor, terbantut apabila rumahnya terbakar di Kampung Tapah, pukul 9.30 malam tadi.
Mohd. Nuraliff Zainal Abidin, 38, berkata sewaktu kejadian, dia dan anak sulungnya yang berusia 12 tahun sedang menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka.
“Kami bergegas pulang sebaik dimaklumkan. Saya risaukan keselamatan isteri, anak bongsu dan bapa mentua yang uzur kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap lima,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Katanya, sebaik tiba di rumah, dia lega melihat isteri, anak bongsunya dan bapa mentuanya berjaya keluar dari rumah yang sedang marak terbakar dengan bantuan jiran-jiran. – KOSMO! ONLINE