KUALA LUMPUR – Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk membawa pulang pingat gangsa pada penampilan pertama mereka di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampainan apabila tewas kepada pasangan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu terpaksa akur dengan kekalahan mereka terhadap pasangan No. 4 dunia, 11-21, 11-21 dalam tempoh 44 minit.
Pasangan negara itu bermula dengan baik namun mereka sering melakukan kesilapan sekali gus membuka ruang kepada lawannya itu untuk menguasai perlawanan sebelum menang di set pertama dengan keputusan 21-11 dalam tempoh 19 minit.
Pada set kedua, cubaan Pearly-Thinaah untuk bangkit mengheret permainan ke rubber set berjaya dihalang gandingan Jepun tersebut sebelum membenarnya lawannya itu membawa pulang pingat gangsa.
Biarpun tewas, pujian harus diberikan kepada pasangan negara itu kerana mereka berjaya mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas membenam cabaran pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.
Sebelum ini, banyak pihak meragui kemampuan pasangan negara itu di Olimpik Paris apabila diundi dalam ‘kumpulan maut’ kerana terpaksa bersaing dengan pasangan No. 1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan serta Mayu Matsumoyo-Wakana Nagahara (Jepun) dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia) menjadikan peluang Pearly-Thinaah ke suku akhir dianggap tipis.
Bagaimanapun, bekas juara Terbuka Perancis itu mengetepikan tanggapan negatif tersebut dengan melangkah ke suku akhir apabila menang ke atas beregu Jepun dan Indonesia walaupun tewas aksi sulung kepada Qing Chen-Yi Fan.
Langkah Pearly-Thinaah untuk menempah tiket ke pentas final gagal direalisasikan apabila tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan No.1 dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan sekali lagi.
Apapun, aksi perjuangan Pearly-Thinaah di Olimpik Paris membuktikan mereka adalah gandingan wanita negara yang harus digilap kerana mampu memberi cabaran hebat sekiranya dikekalkan menjelang persediaan ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti. -KOSMO! ONLINE