MESKIPUN menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak merasakan pasukannya memiliki kelebihan selesa.
Bidoglio menjangkakan pasukan lawan akan memberi tentangan habis-habisan bagi mencipta kebangkitan seterusnya merebut slot ke perlawanan akhir.
Pengendali berusia 56 tahun itu menuntut pemain memberikan komitmen penuh di atas padang pada aksi 90 minit di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam ini sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi Harimau Selatan musim lalu.
“Saya menjangkakan pertembungan antara kedua-dua pasukan pada aksi suku akhir kedua ini jauh lebih sukar berbanding aksi pertama yang menyaksikan JDT diberikan tentangan hebat.
“Justeru, kita tidak boleh leka dan memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk memastikan kemenangan berada dalam genggaman,” katanya.
Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman, 19 Julai lalu, Romel Morales muncul wira JDT apabila meledak gol pada hujung permainan bagi menghadiahkan kemenangan 2-1 buat pasukan pelawat.
Bidoglio menyifatkan Harimau Selatan masih belum ‘selamat’ walaupun ramai menjangkakan peluang JDT semakin cerah untuk ke pentas akhir sekali gus mempertahankan kejuaraan itu.
Sementara itu, penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva akui pasukan akan berdepan tugas sukar melayan kunjungan KDA FC yang cuba mencipta keajaiban untuk meraih kemenangan di SSI.
“Perlawanan menentang KDA FC ini sentiasa sukar buat kita, sama seperti aksi di Stadium Darul Aman sebelum ini. Apapun, kita sudah bersedia menghadapi mereka dari setiap aspek, ini pastinya menjanjikan perlawanan yang sengit,” katanya.