PASIR MAS – Kerajaan mempercepatkan proses tender pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok di sini agar ia dapat disiapkan pada hujung 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang turut bersetuju untuk memendekkan tempoh kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut.
“Projek itu sepatutnya siap awal 2027. Jika proses tender dipercepatkan, mungkin ia akan siap pada akhir 2026. Proses pembinanaan itu melibatkan tender dari 10 syarikat Malaysia dan 10 syarikat Thailand.
“Proses mempercepatkan tender dalam projek itu memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Jamuan Makan Tengah Hari Dihoskan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Utama, Kompleks Apam Putra di Pejabat Tanah dan Jajajah Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, aspek kualiti tetap diberikan perhatian utama meskipun projek tersebut dipendekkan tempoh pembinaannya.
Katanya, kerajaan akan terus menaik taraf jambatan sedia ada beroperasi pada 1971 selepas pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok disiapkan.
“Kedua-dua jambatan itu akan digunakan selepas ini. Sebenarnya, terlalu banyak tumpuan kerajaan diberikan kepada Kelantan ketika ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan Malaysia dan Thailand turut bersetuju untuk mempercepatkan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok.
Menurutnya, selain projek tebatan, ia merupakan salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di Kelantan dengan wilayah Narathiwat setiap tahun.
“Srettha ada memaklumkan kepada saya bahawa sekiranya muara Sungai Golok tidak digali, limpahan air akan terus masuk ke Kelantan dan Narathiwat.
“Tanah muara itu berada di Malaysia dan Thailand. Jadi, kedua-dua kerajaan sudah berpakat untuk menyelesaikan masalah itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE