NARATHIWAT, THAILAND – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ), Sungai Golok di sini sebentar tadi.
Ketibaan Anwar disambut oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin kira-kira 11.23 pagi (waktu Thailand).
Lawatan Anwar ke kawasan Selatan Thailand itu untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok yang merupakan laluan utama sempadan kedua-dua negara.
Anwar dan Srettha turut berbincang mengenai isu sempadan Malaysia-Thailand, inisiatif untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara dan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud. – KOSMO! ONLINE