fbpx

Cara Fattah Amin tonjol bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU Sinar Selawat merupakan luahan perasaan syukur Fattah Amin untuk kelahiran puteri sulungnya Nur Fatima Aisya yang dilahirkan pada 2 Oktober lalu.

TIADA yang lebih membahagiakan selain menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan paling berharga yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang bergelar suami isteri.

Pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura mempunyai cara tersendiri untuk menterjemahkan perasaan terindah selepas dikurniakan kiriman agung iaitu kelahiran cahaya mata sulung, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.

Menzahirkan kesyukuran atas hadiah paling berharga dalam hidupnya dan isteri, Fattah yang sebelum ini pernah muncul dengan lagu kerohanian Kiriman Agung, menghadirkan sebuah lagi single istimewa berjudul Sinar Selawat.

Jika Kiriman Agung menjadi doa dan harapannya ketika menanti kedatangan cahaya mata sebagai penyeri hidup, Sinar Selawat pula menjadi simbolik penghargaan dan tanda kesyukuran Fattah selepas bergelar bapa.

Karya tersebut direalisasikan menerusi kerjasama kali kedua dengan komposer terkenal, Hafiz Hamidun serta penulis lirik prolifik, Ahmad Fedtri Yahya.

Jelas Fattah, Sinar Selawat menterjemahkan kebahagiaan yang menghuni sudut hatinya selepas bergelar bapa kepada seorang puteri yang comel.

“Seperti pasangan lain, saya dan isteri juga mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga. Alhamdulillah, penantian dan doa kami selama ini terjawab dengan kehadiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.

“Momen itu terlalu bermakna dan menjadi kenangan paling manis buat saya serta isteri. Kemanisan lebih dirasai apabila kehadiran permata hati saya turut diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Pelakon berusia 30 tahun itu mengakui, projek istimewa yang dihadiahkan sempena kelahiran anak sulungnya itu begitu dekat dengan hatinya. Sepanjang proses rakaman berlangsung, hatinya begitu tersentuh dengan bait indah lirik yang digarap kemas oleh Ahmad Fedtri.

“Sebagai penulis lirik berpengalaman, Ahmad Fedtri begitu memahami dan berjaya menyelami segala yang terpendam serta terbuku di sudut hati saya ketika menempuh perjalanan untuk menjadi seorang bapa.

“Dia juga menterjemahkan perasaan bertuah dan terharu yang saya alami apabila diberikan Allah SWT peluang berharga untuk menikmati setiap momen istimewa yang mengubah kehidupan saya sejak kelahiran si permata hati,” ujar Fattah teruja.

Sementara itu, Hafiz yang bertindak sebagai komposer berkata, peluang bekerjasama dengan Fattah ketika rakaman lagu Kiriman Agung sebelum ini memudahkan dia memahami apa yang dimahukan pelakon itu dalam menghasilkan Sinar Selawat.

“Ketika menghasilkan Kiriman Agung, saya cuba memahami perasaan Fattah dan isterinya yang begitu mendambakan kehadiran zuriat dalam rumah tangga mereka.

“Saya jadikan zikir-zikir amalan memohon zuriat sebagai asas utama untuk dijadikan melodi dan hasilnya begitu menyentuh perasaan.

“Menerusi Sinar Selawat pula, saya cuba menterjemahkan perasaan syukur dan terharu pasangan itu apabila doa mereka untuk menimang cahaya mata dimakbulkan Allah SWT,” katanya.

Buat persediaan rapi

Menyifatkan Fattah sebagai anak seni yang serius dan profesional dalam menjalankan peranannya, Hafiz berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah ketika proses rakaman berlangsung.

“Bekerja dengan Fattah sangat mudah. Sesi rakaman berjalan dengan lancar kerana dia serius bekerja dan memahami tanggungjawabnya di studio rakaman.

“Fattah juga memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menerbitkan lagu tersebut. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk proses memasukkan vokal kerana dia sudah membuat persediaan rapi sebelum melangkah ke studio.

“Disiplin tinggi yang ditunjukkan Fattah membuatkan proses rakaman berjalan dengan mudah,” katanya.

Meskipun seni penulisan lirik bukan lagi sesuatu yang asing buat dirinya, namun Ahmad Fedtri mengakui, dia berdepan cabaran tersendiri ketika diberi kepercayaan untuk menghasilkan lirik lagu Kiriman Agung dan Sinar Selawat.

“Kedua-dua lagu tersebut perlu menterjemahkan perjalanan emosi yang dilalui pasangan popular berkenaan. Menerusi Kiriman Agung, saya menterjemahkan suara dan pengharapan mereka dalam menantikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap hidup.

“Sementara untuk Sinar Selawat pula, saya cuba menggambarkan perasaan terharu dan syukur mereka apabila impian menimang cahaya mata menjadi kenyataan.

“Kehadiran permata berharga dalam hidup mereka saya terjemahkan sebagai Sinar, manakala Selawat pula dialunkan untuk mengiringi permulaan perjalanan hidup insan yang begitu mereka inginkan,” jelasnya.

Seperti Hafiz, Ahmad Fedtri juga mengakui sangat mudah bekerjasama dengan Fattah yang sentiasa memberikan komitmen jitu dalam memastikan mutu nyanyiannya memperlihatkan kematangan.

“Mendengar sentuhan akhir lagu ini, saya memuji Fattah yang berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan begitu baik. Lagu ini cukup serba-serbi, malah lebih mengujakan dia memberi mutu persembahan yang melangkaui jangkaan saya.

“Saya sudah terbiasa mendengar demo lagu ini yang dirakamkan Hafiz sebelum ini, namun Fattah berjaya menyuntik kelainan dalam mencorakkan Sinar Selawat supaya menjadi versinya sendiri.

“Saya dapat rasakan penghayatan dan emosi yang disalurkan Fattah dalam menjiwai lagu yang menggambarkan perasaannya selepas bergelar seorang bapa,” katanya.

Diterbitkan Universal Music Malaysia, lagu dan video muzik Sinar Selawat telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 11 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI