LONDON – Rusuhan tercetus di Sunderland, timur laut England semalam di mana anggota-anggota polis berdepan ‘keganasan serius dan berlarutan’, dalam kekacauan terbaru berkaitan serangan pisau yang menyebabkan tiga kanak-kanak perempuan terbunuh awal minggu ini.
Ketua Polis Northumbria, Helena Barron berkata, lapan orang ditangkap dan tiga anggota polis memerlukan rawatan hospital susulan kekacauan selama berjam-jam. Dua anggota polis masih berada di hospital setakat pagi ini, katanya.
Rakaman Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menunjukkan beratus-ratus orang merusuh di pusat bandar Sunderland. Mereka menyerang polis dan membakar sekurang-kurangnya sebuah kereta serta bangunan berhampiran sebuah pejabat polis.
Gambar lain dikongsi di media sosial memaparkan kumpulan belia memakai topeng membaling bata dan objek lain serta membakar bunga api.
“Senario mengejutkan di Sunderland pada petang ini (semalam) adalah sama sekali tidak dapat diterima.
“Siasatan penuh sedang dilakukan untuk mengenal pasti perusuh lain di samping lapan orang yang ditangkap,” kata Barron sambil menambah, polis tidak akan bertoleransi dengan kekacauan, keganasan dan kerosakan yang tercetus.
Kekacauan berlaku ketika polis di seluruh Britain bersiap sedia menghadapi perhimpunan yang dirancang oleh kumpulan-kumpulan berhaluan kanan dan demonstrasi lain pada hujung minggu ini, dua malam selepas rusuhan tercetus di sebilangan bandar di England susulan serangan pisau pada Isnin lepas.
Terdahulu, Polis Merseyside berkata, anggota tambahan telah ditempatkan di dalam dan sekitar pusat bandar Liverpool ‘untuk membantu mencegah kekacauan atau jenayah’ di sana. Walaupun berlaku pertempuran kecil berhampiran sebuah masjid di Liverpool, petang semalam secara keseluruhannya berlalu dengan aman.
Liverpool terletak berdekatan bandar tepi pantai Southport di mana serangan pisau itu berlaku.
Elemen sayap kanan dipersalahkan berhubung kekacauan yang berlarutan susulan tragedi tersebut yang menyasarkan kanak-kanak di pesta tarian bertemakan Taylor Swift.
Beberapa pegawai berkata, maklumat salah yang tersebar secara online mengenai suspek berusia 17 tahun kelahiran Britain, Axel Rudakubana telah membantu mencetuskan pergolakan.
Dia berdepan dakwaan membunuh dan cubaan membunuh kerana melakukan serangan pisau itu yang turut menyebabkan lima kanak-kanak dan dua orang dewasa cedera parah.
Polis berkata, kes itu tiada kaitan dengan keganasan tetapi tidak mendedahkan motif jenayah.
Di Southport pula, kumpulan-kumpulan perusuh menyasarkan sebuah masjid dalam insiden yang mendorong ratusan tempat ibadat Islam di seluruh Britain untuk meningkatkan langkah keselamatan di tengah-tengah kebimbangan lebih ramai penunjuk perasaan anti-Islam akan berhimpun. – AFP