KLANG – Isu parkir kereta menjadi punca pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah tokong di Taman Maznah di sini sehingga tular di media sosial.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 10 malam pada 24 Julai lalu ketika upacara sembahyang diadakan di tokong berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua pihak kira-kira pukul 11.30 malam hari sama berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan mendapati insiden bermula apabila sebuah keluarga meletakkan kenderaannya di kawasan lapang di hadapan tokong tersebut.
“Semasa upacara sembahyang dilakukan pada waktu malam itu didapati pihak kedua telah menasihatkan salah seorang ahli keluarga berkenaan agar mengalihkan kenderaan mereka.
“Namun tidak diendahkan sehingga menyebabkan kemarahan dengan seorang lelaki daripada pihak kedua telah membaling sebatang kayu pada kereta keluarga tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menambah, ini seterusnya mencetuskan pertelingkahan mulut dan pergaduhan antara kedua-dua pihak.
Ujarnya, pergaduhan itu bagaimanapun dapat dileraikan dengan mereka masing-masing terlibat telah hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
“Semua yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan serius dan rakaman percakapan telah diambil.
“Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan isu parkir kereta. Kedua-dua pihak kemudianya telah berbincang dan mengambil keputusan untuk berdamai,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 12 saat memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan di laman sosial. – KOSMO! ONLINE