PUTRAJAYA – Mempertingkat keupayaan aset dan aspek kebajikan anggota pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal menjadi antara tumpuan dalam Belanjawan 2025.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan itu adalah seiring dengan tugas hakiki KDN dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Aspek kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas dan saya akan teruskan lagi (pada tahun ini).
“Saya akan kekalkan momentum itu dengan memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) supaya momentum itu dapat dikekalkan.
“Aspek ini penting sebab itu akan meningkatkan moral serta motivasi anggota-anggota keselamatan di bawah KDN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama Pemegang Taruh KDN di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE