fbpx

K2

Buru ikan kapur waktu ombak besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIROL menunjukkan ikan kapur yang berjaya dipancingnya.

BAGI kaki pancing yang tinggal berhampiran kawasan pantai, ia merupakan satu kelebihan yang tidak semua pemancing miliki.

Ini kerana, kawasan pantai terbentang luas menjadi habitat dan tempat ‘permainan’ pelbagai spesies ikan serta hidupan laut yang boleh dijelajahi secara percuma.

Bagi seorang kaki pancing, Muhammad Amirol Pi Ramli, 33, kediamannya terletak berhampiran Pantai Seberang Pintasan di Dungun, Terengganu.

Ini membolehkannya mengunjungi kawasan berkenaan untuk melunaskan hobi memancing.

“Jika ada masa lapang, saya akan ke kawasan pantai di sekitar Dungun terutamanya Pantai Seberang Pintasan untuk memancing.

“Selain lokasinya yang dekat dengan kediaman, saya juga tidak perlu mengeluarkan modal besar seperti membayar sewa bot dan sebagainya.

“Saya hanya perlu keluar modal untuk beli umpan.

“Malah, memancing di kawasan pantai memberikan kepuasan kepada saya, walaupun ia tidak sama seperti memancing di sungai, tasik atau laut dalam,” katanya.

Deretan ikan kapur pelbagai saiz yang berjaya didaratkan oleh Amirol.

Bercakap mengenai aktiviti memancing di kawasan pantai tersebut, pemuda yang mesra disapa Amirol itu berkata, antara spesies ikan menjadi buruannya dan pemancing lain adalah ikan kapur atau dikenali sebagai ‘small spotted dart fish’.

Menurutnya, ikan kapur lebih senang diburu di kawasan perairan berpasir dengan ombak pantai yang agak besar dan bergulung berbanding arus tenang.

Jelasnya lagi, ikan kapur mudah dikenali menerusi bentuk fizikalnya dengan ekor berbentuk V dan panjang, mulut serta mata kecil, selain memiliki rahang sempit.

Bentuk badannya pula adalah leper seakan-akan ikan bawal dan berwarna putih dengan sisik halus menyelaputi seluruh badan.

Selain itu, ia mempunyai tiga bintik hitam pada kedua-dua sisi badan.

“Disebabkan mulut ikan kapur kecil, maka pemancing kerap menggunakan mata kail bersaiz kecil dan diselitkan bersama umpan.

“Biasanya, saya akan menggunakan isi ikan atau isi udang yang diselitkan pada mata kail jenis ‘apollo’.

“Ikan kapur juga boleh dipancing menggunakan teknik ‘casting’ menerusi gewang ‘soft plastic’ bersaiz kecil.

“Saiz ikan kapur yang pernah saya dapat tidaklah terlalu besar.

“Paling besar adalah sekitar satu kilogram dengan saiz sebesar tapak tangan sahaja,” ujarnya.

AMIROL sering menghabiskan masa memancing di Pantai Seberang Pintasan, Dungun, Terengganu.

Menurut Amirol lagi, disebabkan saiz ikan kapur tidak terlalu besar, maka dia lebih gemar menggunakan set joran untuk aksi ringan yang dipadankan dengan mesin bersaiz 2,000 sahaja.

Katanya, set tersebut membolehkannya merasai keseronokan daya lawan ikan kapur setelah membaham umpan.

Ceritanya lagi, penggunaan set joran ringan juga sesuai untuk kawasan perairan berpasir kerana pemancing tidak perlu bimbang dengan situasi mata kail terlekat pada batu.

“Sebenarnya, tak ramai yang kenal ikan kapur sebab bukan semua kawasan pesisir pantai ada ikan ini.

“Bagi kaki pancing yang kerap berkunjung ke kawasan pantai, kalau hendak memancing ikan lain mungkin susah kerana ombak besar.

“Jadi, mereka bolehlah cuba tukar sasaran dengan memburu ikan kapur.

“Walaupun saiznya kecil, namun memburu ikan kapur amat menyeronokkan.

“Malah, saya pernah dapat lebih daripada 10 ekor dalam tempoh tidak sampai satu jam memancing,” katanya.

Ujarnya lagi, isi ikan kapur yang seakan-akan bawal juga sedap dijadikan pelbagai bentuk hidangan, termasuk digoreng begitu sahaja.

Tambahnya, harga ikan kapur di pasaran tidaklah terlalu mahal iaitu sekitar RM10 sekilogram, maka ramai pemancing enggan menjualnya kepada peraih.

Atas sebab itu jugalah dia membawa semua hasil pancingan ikan kapur yang diperoleh ke rumah untuk dijadikan hidangan bersama keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI