fbpx

Lebuh raya Ketereh ke Kok Lanas siap 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (kanan) semasa melawat tapak Projek Penggantian Jambatan FT008/342/80 Sungai Durian, Kuala Krai hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KUALA KRAI – Pakej 2B Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) melibatkan jarak 6.2 kilometer bermula dari Ketereh ke Kok Lanas di sini dijangka siap pada 2026.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan ketika ini sedang dalam proses tender semula dan kontraktor yang dilantik akan menerima Surat Setuju Terima (SST) sebelum hujung tahun ini.

Menurutnya, projek tersebut memerlukan tempoh masa setahun setengah untuk disiapkan sepenuhnya dengan kemajuan sebanyak 85 peratus setakat ini.

“Memandangkan kontraktor sebelum ini tidak mampu menyiapkan projek tersebut, jadi langkah terbaik adalah dengan melantik kontraktor baharu.

“Projek tersebut akan bermula hujung tahun ini dan dijangka siap pada 2026,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Penggantian Jambatan FT008/342/80 Sungai Durian, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pakej 2B membabitkan pembinaan laluan dari Ketereh hingga Kok Lanas bawah Projek Lebuh Raya KBKK berdepan denda RM30,000 sehari kerana kelewatan ia disiapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, kemajuan pembinaan Pakej 2B sepatutnya sudah 100 peratus berdasarkan jadual, namun hanya mencapai 80 peratus.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Lebuh Raya KBKK yang dipecahkan kepada tujuh pakej termasuk dua telah siap sepenuhnya dengan keseluruhan pembinaan membabitkan jalan sepanjang 66.88 kilometer dan kos sebanyak RM2.33 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI