SELANGOR FC digesa meningkatkan prestasi dalam aksi ‘hidup mati’ pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini sekiranya berhasrat untuk mara ke pentas final musim ini.
Ketua jurulatih Gergasi Merah, Nidzam Jamil percaya pasukannya perlu menggandakan usaha sekiranya berhasrat untuk mempamerkan kebangkitan dramatik selepas dikecewakan ketika seri 1-1 bertemu Sri Pahang pada aksi Liga Super, Rabu lepas.
Menurut Nidzam, banyak perkara yang boleh diperbaiki oleh pasukan dalam memastikan keputusan positif dapat dilakar terutama apabila ketinggalan defisit 2-3 selepas tewas aksi pertama di tempat lawan bulan lalu.
“Kita cuba untuk bangkit dengan perbaiki kelemahan yang ada. Bola sepak adalah kombinasi banyak perkara termasuk persiapan, kekuatan mental dan motivasi sebelum mengharungi perlawanan.
“Jika kita dapat rasakan suasana yang bagus, tidak mustahil kualiti bola sepak dapat dipertingkatkan dalam memburu keputusan positif,” katanya.
Dalam masa sama, Nidzam juga menyeru agar benteng skuad Merah Kuning kekal ampuh bagi mengelakkan gawang dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan di laman sendiri nanti.
“Saya hormat TFC dan peka dengan masalah yang boleh mereka berikan. Sebelum ini mereka berjaya jaringkan gol menerusi sepakan percuma, dari luar kotak dan kekuatan fizikal penyerang.
“Justeru, banyak kerja rumah yang perlu kami lakukan tetapi dalam masa yang sama tidak adil untuk menidakkan peluang Selangor (untuk ke final),” katanya.
Kali terakhir Selangor menjulang trofi berprestij itu ketika edisi 2009 dengan menewaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepat terikat 1-1 pada masa tambahan.