PARIS – Skuad renang Australia menebus kekecewaan sekadar meraih gangsa di Tokyo tiga tahun lalu apabila memenangi pingat emas dalam acara 4×200 meter (m) gaya bebas wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Lebih manis, kuartet yang dibarisi Mollie O’Callaghan, Lani Pallister, Brianna Throssell and Ariarne Titmus itu turut memperbaharui rekod Olimpik menerusi catatan masa 7 minit 38.08 saat (s).
Sementara itu, pingat perak menjadi milik Amerika Syarikat (AS) yang melakukan catatan masa 7:40.86s, manakala gangsa dimenangi pasukan China selepas mencatat 7:42.34s.
“Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana kami amat mahukan pingat emas dalam acara berganti-ganti ini. Secara jujur, saya masih kecewa dengan aksi yang saya tampilkan pada Olimpik Tokyo.
“Saya anggap ketika itu saya menjadi punca kepada kekalahan pasukan, oleh itu saya hanya mahu melunaskan dendam di sini dan ia membuahkan hasil. Satu kemenangan yang sangat beremosi untuk kami,” kata Titmus.
Sebagai rekod, kemenangan itu merupakan pingat emas pertama Australia dalam acara tersebut selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2008 yang berlangsung di Beijing, China.
“Rakan sepasukan saya sangat hebat. Saya tidak jangka dapat berdiri di sini bersama mereka kerana pada awal minggu ini saya disahkan positif Covid-19. Bagi saya, pencapaian ini sangat menakjubkan,” ujar Pallister. – AGENSI