fbpx

JAIPk diarahkan beri penjelasan, betulkan kekeliruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil menimbulkan salah faham.

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarahkan untuk melaksanakan beberapa ketetapan berhubung penularan isu tular lawatan JAIPk ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, ketetapan tersebut merupakan hasil daripada satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, hasil daripada mesyuarat berkenaan dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu tersebut.

“JAIPk telah diarahkan untuk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

“JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam,” katanya di sini hari ini.

Menurut Pejabat Menteri Besar Perak juga, JAIPk diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri mahu semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.

“Kerajaan Negeri juga meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Mengulas isu sama, ujarnya, kerajaan negeri Perak sentiasa berpegang kepada prinsip maqasid syariah dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI