fbpx

Suspek komplot sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan suspek yang terbabit dengan sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang selepas seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai penggunaan darjah kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P).

“Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran (S.S.A.P) palsu dirampas daripada penama. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan mana-mana individu agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan kesalahan jenayah.

“Dalam kes ini, penama boleh dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.

“Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Terdahulu, Istana Pahang membuat laporan polis ke atas ahli lembaga pengarah syarikat telekomunikasi yang didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang masih dalam senarai menunggu.

Laporan dibuat di Kuantan pada 26 Julai lalu oleh wakil Istana Pahang berikutan penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negeri. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI