fbpx

Tahap pematuhan norma baharu berkurangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim (tengah) membuat pemantauan di sebuah pasaraya di Amanjaya, Sungai Petani hari ini.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Tahap pematuhan individu dan premis perniagaan dalam menjalani norma baharu dilihat semakin berkurangan berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh pihak polis sejak tiga hari lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, keadaan itu meresahkan kerana dikhuatiri berlaku peningkatan semula kes Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, lokasi pemantauan membabitkan kedai makan, premis perniagaan, rumah ibadat, kawasan riadah, tempat pelancongan, stesen pengangkutan awam, majlis keraian dan institusi pendidikan.

“Hasil pemantauan yang dilakukan di kedai makan, restoran bistro dan bar mendapati mereka langsung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Orang awam juga dilihat telah berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial, kanak-kanak juga dibiarkan bercampur sesama mereka tanpa kawalan ibu bapa,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) Kuala Muda di sini hari ini.

Selain itu, kata Zainal Abidin, restoran dan kedai makan juga tidak menyediakan laluan khusus keluar masuk pelanggan, tidak membuat imbasan Kod QR dan MySejahtera.

Tambahnya, mulai hari ini pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas indvidu dan pemilik premis yang tidak mematuhi SOP.

“Kita tidak akan beri nasihat lagi selepas ini yang mana mereka akan terus dikenakan kompaun RM1,000,” ujarnya.

Sejurus selesai sidang media, Zainal Abidin bersama pegawai dan anggota membuat pemeriksaan mengejut pematuhan SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di premis perniagaan dan pusat membeli-belah di sini.

Dalam pemeriksaan itu, sebuah restoran nasi kandar dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP antaranya tiada rekod catatan suhu badan pelanggan dan tiada laluan keluar masuk yang khusus untuk pelanggan.- K! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI