fbpx

Pasca berhijab, Hannah Delisha semakin laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH DELISHA

KEMBALI kepada fitrah menemukan satu daripada ciri kesempurnaan muslim merupakan satu langkah besar buat seseorang wanita moden. Kewajipan yang kini diambil segelintir wanita muslim menjadi sekadar pilihan tersebut bagai satu proses kelahiran semula.

Sungguh! Kelahiran semula itulah yang ditakrifkan pemilik nama Hannah Adlina Blackburne Birch mengenai penghijrahan imej yang dilakukannya sejak lima bulan lalu.

Indahnya, penghijrahan tersebut berlaku dalam sekelip mata dan  diam-diam tanpa sebarang petanda awal.

Bermula dengan memuat naik foto berhijab dalam Instagram pada September lalu, tindakan Hannah cukup membuatkan semua terpaku dengan kejelitaannya. Namun, anak kelahiran Singapura itu mengambil pendekatan enggan terlalu menguar-uarkan penampilan baharunya kepada umum.

Hijrah

Bercerita tentang kehidupannya selepas lima bulan bergelar wanita berhijab, Hannah atau nama pentasnya, Hannah Delisha memberitahu, hatinya kini lebih tenang berbanding sebelum ini.

Ujar pelakon berusia 24 tahun itu, niatnya untuk berhijab sepenuhnya sudah lama dipendam, namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor.

IMEJ manis Hannah Delisha yang mengenakan tudung sejak September lalu menuai pujian ramai yang memuji kecantikannya.

“Memang saya sudah lama menyimpan hasrat untuk memakai tudung, namun kadang-kadang terdetik, adakah rezeki dan kerjaya akan terganggu sekiranya sudah berhijab penuh.

“Saya juga mengaku ada terfikir, sama ada orang akan berhenti memberi tawaran lakonan kepada saya. Semua itu bermain dalam benak sebelum berhijab,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran Vida Vitamin C, sekali gus memperkenalkan dirinya sebagai duta.

Bagaimanapun, hatinya nekad mengatakan berhijab merupakan pilihan terbaik dan yakin Allah SWT akan menjanjikan sesuatu yang jauh lebih baik untuknya kelak.

“Ketika hati ragu-ragu, saya fikir dan tanya semula kepada diri sendiri yang niat berhijab itu untuk siapa. Jawapannya untuk Allah.

“Sejak dari detik itu memang saya tekadkan hati dan terus berhijab selepas tamat penggambaran drama Cinta Sekali Lagi.

“Saya percaya, rezeki datang dari Allah. Dia yang tentukan dan izinkan rezeki datang kepada kita. Jadi saya tak mahu beri tekanan kepada diri tentang rezeki,” katanya lagi.

BERTUDUNG tanpa sebab yang perlu dicanangkan kepada umum atau memenuhi permintaan mana-mana lelaki yang mahu menikahinya, alasan Hannah, dia cuma mahu memperbaiki diri dan menyempurnakan tuntutan sebagai muslimah.

Kongsi Hannah, bapanya, Peter Blackburne Birch yang kini menetap di England turut menyokong niatnya untuk memakai tudung.

“Ketika saya melahirkan hasrat memakai tudung kepadanya, dia memang seronok dan memberikan sokongan sepenuhnya. Baginya, jika saya gembira, dia turut tumpang bahagia.

“Saya beruntung kerana dikurniakan ibu bapa yang sentiasa menyokong dan memahami,” ujarnya yang turut melahirkan rasa kerinduan buat ibu dan ahli keluarga lain selepas lama tidak pulang ke Singapura.

Berkongsi rasa tentang perubahan yang dirasai selepas bertudung, Hannah mengakui menemukan keindahan yang selama ini tidak wujud dalam jiwanya.

“Saya hanya menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

“Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Semoga saya terus istiqamah. Insya-Allah,” ujarnya.

HANNAH DELISHA sedang merangka satu kerjasama dengan jenama fesyen terkenal tanah air Cosry untuk mengeluarkan koleksi busana muslimah tahun depan.

Dedahnya, selepas berakhir penggambaran Cinta Sekali Lagi, perasaannya untuk memakai tudung semakin membuak-buak.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu memberi satu sinar dalam hidup saya. Jika orang lain fikir mereka rasa terkurung, lain pula bagi saya.

“Saya ambil peluang duduk di rumah sebagai masa untuk banyakkan beribadah dan dekatkan diri kepada-Nya. Memang tenang sangat jiwa waktu itu, bukan senang nak dapat cuti panjang begitu,” katanya.

Rezeki

Berbalik kepada rezeki, Hannah memberitahu Tuhan telah mencurahkan pelbagai bentuk nikmat kepadanya selepas memakai hijab.

Kongsinya lagi, dia bakal berkolaborasi bersama seorang butik fesyen terkenal, Cosry bagi mengeluarkan jenama pakaian muslimah tidak lama lagi.

“Jenama kolaborasi tersebut diberi nama Delicia. Rekaan yang kami akan lancarkan memang mengikut syariah Islam.

“Insya-Allah semuanya akan dikeluarkan pada 2021. Semoga semua perancangan dipermudahkan,” tutur Hannah yang pernah mengeluarkan single bertajuk Esok Masih Ada sekitar 2017.

Antagonis

Saat rancak berbicara, aktres yang pernah membintangi filem Langsuir itu tiba-tiba beralih topik. Kisah watak Amani lakonan dalam Cinta Sekali Lagi menyelinap dalam perkongsian.

Tutur pelakon jelita itu, dia tidak menyangka watak Amani mendapat perhatian ramai sehingga namanya diseru dan menjadi sohor kini dalam media sosial.

HANNAH DELISHA sedang merangka satu kerjasama dengan jenama fesyen terkenal tanah air Cosry untuk mengeluarkan koleksi busana muslimah tahun depan.

“Awalnya memang takut juga nak bawa watak jahat sebab tidak pernah pegang karakter sebegitu.

“Saya perlukan satu cabaran untuk diri sendiri sebab sebelum ini asyik pegang watak perempuan baik. Sebenarnya risau juga kalau kejahatan Amani tidak menjadi, tetapi alhamdulillah hasilnya berjaya,” katanya.

Disebabkan Amani, Hannah mengakui ramai yang mengecam dirinya sehingga ada yang menggelarnya sebagai Mak Lampir serta memintanya buang sahaja tudung di kepala.

“Terkejut juga apabila ramai mesej saya dalam Instagram kerana terlalu marahkan Amani dan ada yang suruh saya buka tudung sebab tak layak kerana terlampau jahat.

“Bagi saya semua itu membuktikan saya berjaya membawa watak tersebut dengan cemerlang,” katanya ringkas.

Biarpun dihentam teruk kerana kejahatan Amani, Hannah menerima dengan hati terbuka sekiranya sekali lagi diberi tawaran menjayakan watak antagonis.

“Jika ada yang beri peluang kepada saya untuk watak jahat tetapi berhijab, kemungkinan besar saya akan terima.

“Apa-apa pun bergantung dengan skrip dan jalan cerita sebab saya perlu jatuh suka dan selesa dengan semua itu terlebih dahulu sebelum sahut tawaran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI