fbpx

Peluang peserta cabar diri acara triatlon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN edisi kedua Man of Steel Triatlon bakal berlangsung 10 Ogos ini.

KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa daripada peserta tempatan dan luar negara bakal menyaksikan pertarungan sengit merebut juara keseluruhan penganjuran edisi kedua Kenanga Man of Steel Triatlon 163 yang bakal berlangsung 10 Ogos ini.

Cabaran bertaraf antarabangsa itu yang berjaya menarik penyertaan 724 peserta termasuk 79 atlet luar negara, menawarkan keseimbangan jurang jarak antara Sukan Olimpik serta Ironman bagi tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.

Kategori utama Man of Steel menawarkan cabaran jarak berenang sejauh 3 kilometer (km) diikuti berbasikal 130km dan 30km bagi acara larian.

Ia bagi memberikan kepuasan maksimum kepada peserta tempatan serta antarabangsa yang selama ini mungkin menyimpan impian untuk mencabar diri masing-masing sama seperti atlet profesional yang beraksi di pentas Olimpik dan Ironman.

Selain Man of Steel, terdapat dua lagi kategori yang menawarkan cabaran lebih santai iaitu Aquathlon dan Sprint Triatlon di mana kedua-duanya turut mendapat sambutan menggalakkan.

Pengarah perlumbaan, Eugene Chan berkata, edisi kedua penganjuran itu akan menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh setiap peserta.

“Bagi mereka yang mempunyai perancangan beraksi di Ironman, inilah masa paling tepat untuk mencuba saingan ini sebelum beraksi di saingan lebih mencabar.

“Kami sangat gembira dengan jumlah penyertaan pada tahun ini apabila seramai 724 peserta sudah mengesahkan penyertaan di mana 79 daripadanya adalah peserta luar negara.

“Ia adalah pertambahan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah penyertaan pada edisi pertama tahun lalu.

“Untuk itu, kami berharap dapat meraih lebih banyak sokongan daripada semua pihak bagi membolehkan acara ini dianjurkan dengan skala lebih besar sekali gus dapat melonjakkan reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya.

Seperti ketika penganjuran kali pertama tahun lalu, edisi kedua Kenanga Man of Steel Triatlon 163 turut akan berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya.

“Putrajaya sekali lagi menjadi pilihan kerana ia adalah tumpuan utama bagi acara sukan dan rekreasi. Putrajaya juga adalah lokasi paling selamat untuk menganjurkan acara seperti Kenanga Man of Steel Triatlon 163,” kata Eugene. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI