BIARPUN tidak dapat meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati pada Sukan Olimpik Paris 2024, namun perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei sudah memberikan segala-galanya dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan H semalam.
Langkah Jin Wei tersekat di peringkat kumpulan apabila sekadar menjadi naib juara Kumpulan H selepas tewas 17-21, 22-20, 21-23 kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun dalam aksi penentuan juara kumpulan itu.
Walaupun turun sebagai pemain bukan pilihan, namun Jin Wei hampir menempah tempat ke pusingan kalah mati ketika mendahului 20-18 di set ketiga sebelum Ga Eun bangkit mencatat kemenangan 23-21.
Jurulatih Jin Wei, Nova Armada percaya anak buahnya itu sudah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut selain hampir sahaja menghantar Ga Eun pulang lebih awal daripada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Permainannya (Jin Wei) memang bagus selain sudah memberikan segala-galanya. Saya fikir set pertama dia patut menang, mungkin sebab terburu-buru tidak dapat melakukannya, namun dia bangkit di set kedua.
“Pada set ketiga, sebenarnya dia sudah bermain dalam keadaan lebih tenang, namun ketika kedudukan 20-18, dia memilih bermain lebih selamat. Biasanya dia berani untuk mengambil risiko,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Nova yang tidak dapat menemani Jin Wei di Paris ekoran kad akreditasi terhad turut menjelaskan bahawa teknik permainan bekas juara remaja dunia itu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Ga Eun.
Beliau turut menganggap kekalahan Jin Wei hanya disebabkan faktor nasib memandangkan kedua-dua pemain memiliki corak permainan hampir sama biarpun Ga Eun menghuni ranking ke-17 dunia berbanding Jin Wei di kedudukan 32.
“Sebenarnya permainan sudah hampir sama, namun tuah lebih memihak kepada Korea. Kalau kalah teruk, mungkin agak kesal tetapi dia sudah memberikan segala-galanya. Selepas ini, kita hanya perlu memperbaiki kekurangan yang ada,” ujar Nova.