KEKALAHAN Ariana Nur Diana Mohamad Zairi di Sukan Olimpik Paris 2024 boleh dianggap satu permulaan positif buat pemanah berusia 19 tahun itu untuk kembali dengan persiapan lebih ampuh terutama melayakkan diri sekali lagi ke temasya empat tahun itu.
Bagi Ariana, penyertaan kali pertamanya di temasya terbesar itu memberi pengalaman dan pengajaran yang berguna kepadanya untuk berusaha lebih gigih ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti.
Kelmarin, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila dia hampir mengejutkan juara dunia 2022 dari Itali, Chiara Rebagliati dalam pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita sebelum tewas 5-6 melalui penentuan shoot-off.
“Alhamdulillah saya terima apa saja keputusan yang terjadi. Namun, dari pihak saya memang ada rasa sedikit kecewa kerana saya tahu saya pernah buat lagi baik.
“Ini Olimpik pertama saya, jadi saya puas hati dengan apa yang saya capai. Apa yang saya boleh katakan ‘vibe’ Olimpik ini sangat berbeza dari pertandingan lain. Banyak pengalaman dan pengajaran saya dapat dari sini.
“Untuk Olimpik LA28 nanti saya akan cuba layak lebih awal. Sebab Olimpik kali ini saya pun antara yang lambat layak.
“Saya hanya ada enam ke tujuh bulan untuk mempersiapkan diri, jadi selepas ini saya akan usaha lebih lagi untuk layak lebih awal,” katanya.
Seorang lagi pemanah negara, Syaqiera Mashayikh turut tersingkir apabila tewas 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil menerusi penentuan shoot-off selepas memulakan kempen dengan menewaskan atlet Moldova, Alexandra Mirca 6-0 pada pusingan penyingkiran 1/32.