PETALING JAYA – Kejayaan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke pusingan separuh akhir pada perlawanan badminton Olimpik Paris 2024 sebentar tadi mengundang rasa sebak sekali gus menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
Detik terindah itu menjadi ‘trending’ di aplikasi X dengan tanda pagar #PearThin setelah beregu itu berjaya membenam cabaran pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong di suku akhir sebentar tadi.
Rata-rata peminat sukan tanah air menyifatkan perjuangan Pearly-Thinaah itu merupakan sejarah yang terlakar ekoran menjadi beregu wanita pertama dari Malaysia yang pernah memasuki Separuh Akhir di Sukan Olimpik sejak penubuhannya pada 1992.
“Tahniah! Pearly-Thinaah telah memecahkan rekod dan mara ke separuh akhir Olimpik, yang pertama untuk beregu wanita Malaysia. Perjuangan anda, semangat anda, kejayaan anda, semuanya tidak terungkap,” komen Fateh.
“Daripada ‘kumpulan kematian’ sehingga mencipta sejarah. Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk beregu ini, tapi mereka sudah menentang segala rintangan,” komen Wei.
Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris tadi, Pearly-Thinaah tidak berdepan banyak masalah apabila mencatat kemenangan menerusi aksi straight set 21-12, 21-13 dalam tempoh 42 minit.
Menanti Pearly-Thinaah di pentas separuh akhir esok adalah beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8. – KOSMO! ONLINE