PARIS – Seorang atlet Turkiye, Yusuf Diker mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen sama ada dia merupakan penembak upahan di Sukan Olimpik, lapor portal berita News18 hari ini.
Tanggapan itu dibuat kerana Yusuf yang berusia 51 tahun tidak memakai peralatan seperti gogal khas dan alat pelindung bunyi pada telliga ketika menyertai acara sukan menembak.
Sebaliknya, dia memakai cermin mata biasa dan memakai penyumbat telinga kalis bunyi peluru untuk acara menembak Pistol Udara 10 meter.
Walaupun beraksi sebegitu, dia berjaya memperoleh pingat perak dalam acara berpasukan bersama Sevval Ilayda Tarhan.
Gambar itu telah mendapat tumpuan meluas di media sosial apabila Yusuf dilihat membidik sasarannya dengan sebelah tangannya berada di dalam poketnya.
Gambar itu menjadi tular di media social secara meluas, mencetuskan perdebatan di internet.
“Adakah Turkiye menghantar pembunuh upahan ke Sukan Olimpik?” soal seorang netizen sambil berkongsi gambar Yusuf.
Seorang lagi menulis: “Turkiye menghantar seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa kaca mata khusus atau pelindung telinga dan mendapat pingat perak,” tulisnya lagi.
Sebelum ini Yusuf pernah membuat kemunculan pertama dalam sukan menembak di Sukan Olimpik Beijing China pada 2008.
Sejak itu, dia menyertai banyak sukan menembak dalam pertandingan besar.
– AGENSI