fbpx

Ekuinas tunda penjualan Al-Ikhsan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta program Iltizam Catalyst 2023 anjuran Ekuinas.

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) berkemungkinan akan menangguhkan pelan untuk keluar daripada pelaburannya dalam syarikat peruncit barangan sukan, Al-Ikhsan Sports kepada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, secara amnya, ketika ini unjuran pasaran keseluruhan terutamanya dalam segmen barangan pengguna dilihat sedikit lemah secara relatifnya.

“Ekonomi tahun ini dijangka kekal mencabar, terdapat banyak tekanan termasuk dari sudut inflasi dan rasionalisasi subsidi bahan api. Bagi sesetengah produk dan perkhidmatan, pengguna dilihat agak berhati-hati untuk membuat perbelanjaan.

“Bagi Al-Ikhsan, apa yang kami akan buat ialah mungkin menangguhkan kepada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pencapaian Iltizam Catalyst 2023 di sini hari ini.

Syed Yasir Arafat

Ekuinas sebelum ini menyatakan pihaknya terbuka untuk keluar daripada pelaburannya dalam Al-Ikhsan, sama ada menerusi tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan dagangan.

Firma ekuiti persendirian itu membeli 35 peratus pegangan dalam Al-Ikhsan Sports pada RM68.6 juta tahun 2016.

Sementara itu, Syed Yasir Arafat menjelaskan, pengambilan seterusnya untuk program pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh Ekuinas, iaitu Iltizam Catalyst kini dibuka sehingga 15 Ogos.

“Kami akan mengambil sekitar 12 hingga 15 buah syarikat dan setiap satu daripadanya secara purata bakal menerima bantuan bernilai RM50,000 hingga RM60,000 dalam program selama setahun ini.

“Syarat kelayakan ialah syarikat berstatus Bumiputera dengan pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta dan merekodkan keuntungan selama dua tahun berturut-turut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI