IPOH – Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara selama 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah membunuh abang dan kakak iparnya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas Ng Chun Ming, 63, menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Julai lalu.
Pengakuan bapa kepada seorang anak lelaki itu dibuat pada hari pertama perbicaraan kes tersebut yang sepatutnya bermula dari 15 hingga 19 Julai 2024.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Taman Bercham Aman antara pukul 6.45 petang pada 6 Julai hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022 lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil, Afina Abdul Hakim dan Nurhusna Mohd. Tharimazi. – KOSMO! ONLINE