KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka berdepan laluan sukar di pentas suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila diundi bertemu jaguh India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy esok.
Meskipun memiliki rekod lapan kemenangan ke atas beregu No.5 dunia itu dalam 11 pertemuan, namun mereka tidak boleh berasa terlalu selesa memandangkan tiga aksi terakhir memihak kepada Shetty-Rankireddy.
Aaron-Wooi Yik wajib mencatat kemenangan esok untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian pada Olimpik Tokyo 2020 di mana mereka berjaya melangkah ke pentas separuh akhir.
Berdasarkan prestasi semasa ditampilkan bekas juara dunia itu, tidak mustahil Aaron-Wooi Yik mampu meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir dan terus menggalas misi memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Terdahulu, naib juara All England itu memastikan tempat ke suku akhir selaku naib juara dalam saingan Kumpulan A selepas merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan.
Sekiranya berjaya menundukkan Shetty-Rankireddy, beregu No.3 dunia itu sekali lagi bakal berdepan laluan berliku di separuh akhir apabila dijangka bertemu pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indoensia. – KOSMO! ONLINE