DUBLIN – Dua orang maut selepas helikopter dinaiki mereka merempuh sebuah bangunan di sebuah bandar terpencil berhampiran Killucan, Ireland, lapor laman berita The Sun UK semalam.
Polis berkata, helikopter itu terhempas di atas bumbung kandang babi.
Perkhidmatan kecemasan termasuk ambulans, polis dan unit Perkhidmatan Bomba Westmeath bergegas ke tempat kejadian.
Salah seorang lelaki yang maut adalah dari Ireland, manakala seorang lagi difahamkan berasal dari Eropah timur, kata polis.
Hanya mereka berdua yang berada di dalam helikopter itu ketika kejadian.
Penerbangan itu berasal dari Weston, demikian menurut data penerbangan, manakala helikopter itu telah terbang di udara selama kira-kira 25 minit .
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Wilayah Mullingar untuk menjalani bedah siasat. – AGENSI