“SUKAN ini (bola sepak) susah nak repair (diperbaiki).”
Pandangan itu disuarakan oleh Bobie Farid Shamsudin selepas mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) interim Perak FC semalam.
Menurut Bobie Farid, fokusnya selepas ini adalah untuk kembali fokus kepada tugas hakiki terutama bidang perniagaan yang sudah lama ditinggalkannya.
“Dengan rasminya hari ini (semalam) saya melepaskan jawatan interim CEO Perak FC. Dah lama sangat saya tinggalkan rakan-rakan niaga saya.
“Back to real work, real people (kembali ke tugas sebenar, dengan individu sebenar). Bagi saya sukan ini susah nak repair (diperbaiki). Adios (Selamat tinggal) Perak FC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebagai rekod, Bobie Farid dilantik sebagai CEO sementara sejak pertengahan tahun 2022 selepas fasa penswastaan The Bos Gaurus dengan misi meningkatkan lagi prestasi pasukan.
Namun, Perak gagal mempamerkan aksi konsisten dalam kempen Liga Super musim ini termasuk tewas 1-2 kepada Kuching City dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan terbabit, ketua jurulatih The Bos Gaurus, Yusri Che Lah mengakui anak-anak buahnya perlu bekerja lebih keras jika mahu tampil lebih serius pada saingan liga musim ini.
“Kealpaan pemain (menghukum pasukan) terutama pada separuh masa kedua. Kita dah buat perancangan rapi tetapi momentum tersebut hanya kekal pada babak pertama dengan pasukan lawan mempamerkan kebangkitan,” katanya.