PUTRAJAYA – Pemergian Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh merupakan kehilangan besar buat dunia Islam pada ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun disebalik kehilangan pemimpin berkenaan, semangat berjuang beliau tidak akan pudar dan kehilangan ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus agar keadilan serta kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan hati saya hari ini apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang Ismail Hamiyeh, Ketua Hamas dan pengawal peribadinya yang gugur syahid dalam serangan di Tehran, Iran.
“Setiap kali beliau hadir ke sini (Malaysia), mesti kami berjumpa dan berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin.
“Sosok tubuh inilah yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang,” katanya dalam hantaran di aplikasi Facebook hari ini.
Ahmad Zahid turut menitipkan doa agar Allah SWT menempatkan mereka yang gugur dalam kalangan para syuhada.
“Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat. Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat. Gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat. Sehingga tercapai matlamat. Palestin bebas, merdeka dan berdaulat,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan hari ini bahawa serangan Israel di Tehran membunuh ketuanya, Ismail.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran sebelum itu menyatakan bahawa Ismail terbunuh di samping seorang daripada pengawal peribadinya. – KOSMO! ONLINE