PARIS – Ego skuad hoki lelaki Australia lebur selepas dibelasah 2-6 oleh juara bertahan, Belgium pada aksi Kumpulan B saingan Sukan Olimpik Paris 2024 di Stadium Yves du Manoir awal pagi semalam.
Perlawanan itu boleh dianggap sebagai ulangan final Olimpik Tokyo 2020 di mana kedua-dua pasukan membuat perhitungan dengan pingat emas dimenangi Belgium manakala Australia berpuas hati meraih perak.
Bagaimanapun, hasrat skuad Kookaburras untuk sekurang-kurangnya menebus kekalahan tersebut tidak dapat ditunaikan apabila mereka sekali lagi akur dengan kehebatan pasukan yang menghuni ranking ketiga dunia itu.
Pemain tengah Australia, Tom Craig mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun menegaskan, masih banyak perlawanan perlu diharungi dan mereka berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
“Dalam banyak-banyak perlawanan, pasti ada satu yang tidak memuaskan dan ia berlaku hari ini (semalam). Mereka (Belgium) adalah juara Olimpik dan sebab itu kami tidak boleh beri mereka banyak peluang.
“Mereka sangat berbahaya dan memanfaatkan peluang terhidang dengan sebaik-baiknya. Kami tidak perlu risau kerana kejuaraan tidak ditentukan di peringkat kumpulan, masih ada banyak perlawanan,” katanya.
Hasil keputusan itu, Australia kini berada di tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata dan hanya empat pasukan daripada setiap kumpulan akan mendapat slot untuk beraksi di pusingan suku akhir nanti. – AGENSI